Saturday, December 20, 2008

Peranan agama dalam bahasa Melayu

Dalam keadaan prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang berwibawa banyak dipersoalkan hari ini, para pejuang bahasa mengharapkan dokongan daripada ilmu falsafah dan ilmu keagamaan, demikian menurut Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar.

Katanya, ilmu falsafah dan ilmu keagamaan seperti yang dihuraikan oleh ulama-ulama fekah telah memberi sumbangan penting kepada kemunculan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dan intelektual.
"Dalam konteks agama Islam ilmu al-Quran dan ilmu hadis telah memperkayakan bahasa kaum atau bangsa yang memeluk agama tersebut termasuklah orang Melayu," katanya ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk 'Ilmu Falsafah dan Ilmu Keagamaan sebagai Pemangkin Kemajuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah'.
Menurutnya, sejarah tamadun Islam jelas menunjukkan ilmu falsafah dan keagamaan memainkan peranan penting dalam memartabatkan hampir setiap bahasa umat Islam sebagai bahasa ilmiah dan intelektual.
"Ini terbukti benar bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa utama umat Islam," katanya dalam seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual dalam Konteks Tamadun Alaf Baru dan Pelancaran Jurnal Peradaban di Universiti Malaya semalam.
Begitu juga, katanya, pusat perkembangan pengajian dan pemikiran Islam sekaligus menjadi pusat perkembangan Bahasa Melayu, ini membuktikan lagi wujud hubungan erat antara kemajuan ilmu agama dan kemajuan Bahasa Melayu.
"Dalam ilmu falsafah kita sering menyebut ibu segala ilmu, ini bermakna prinsip ilmu itu berperanan melahirkan ilmu-ilmu lain," katanya di hadapan kira-kira 40 orang peserta seminar.
Tambahnya, sumber kekuatan ilmiah perlu ada pada para pejuang bahasa kerana ilmu inilah antara sumber penting dalam mengekalkan Bahasa Melayu seterusnya boleh mendorong mereka menghasilkan karya-karya agung.
"Kemunculan kumpulan kecil yang memperjuangkan bahasa Melayu sama ada melalui seminar seperti hari ini akan mencetuskan ide-ide baru yang boleh memartabatkan bahasa itu semula," katanya.

No comments:

Post a Comment