Saturday, December 20, 2008

Tujuh pilihan sidang meja bulat,kabur dan tidak jelas

Tujuh pilihan Persidangan Meja Bulat, Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan pembelajaran tersebut adalah kabur dan tidak jelas hala tujunya.

Demikian respons Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia � China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan mengenai tujuh pilihan persidangan meja bulat PPSMI itu.
Kekaburan tersebut katanya, sama dengan kaburnya ketika dasar itu diputuskan dan mula dilaksanakan secara tergesa-gesa (ad hoc).
"Apa pun yang jelas, PPSMI bukan pilihan yang betul untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan bukan juga kaedah yang tepat untuk menguasai sains dan teknologi dengan berkesan.
"Selain itu, PPSMI terkeluar daripada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi salah satu dasar negara dan aspirasi unggul dalam pembinaan tamadun yang berteraskan akar atau jati diri kebangsaan,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.
Tegasnya, daripada laporan beberapa pihak yang hadir, pertemuan itu tidak memuaskan daripada segi skop perbincangan.
Jelasnya, jemputan pakar dari Australia dalam pertemuan tersebut lebih memberikan taklimat sistem yang dilaksanakan di negaranya. Manakala,Ketua Pengarah Pendidikan pula tidak memberikan analisis keputusan UPSR dengan lengkap.
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan kekesalan kerana Persidangan Meja Bulat PPSMI kali ke-5 itu turut mengecewakan sebilangan besar ahli persidangan yang tidak bersetuju dengan dasar PPSMI ini.
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi menjelaskan pembentangan kertas kerja oleh wakil Victorian Curriculum and Assessment Authority (VCAA) tidak begitu membantu proses perbincangan yang sewajarnya ditumpukan terhadap penilaian PPSMI baik dari segi dasar atau pelaksanaannya.
Katanya, pembentangan tersebut hanya menjurus kepada penerangan sistem pendidikan yang telah dipraktikkan di Australia yang tidak menjadi keperluan terpenting persidangan.
"Komentar beliau berkaitan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hanyalah pandangan peribadi tanpa didasari dengan kajian-kajian ilmiah malah boleh dikategorikan sebagai sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya dalam kenyataannya baru-baru ini.
Sementara itu, jelas Abu Qassim lagi, analisis keputusan UPSR tahun 2008 yang dibentang oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dato' Alimuddin Mohd Dom, tidak begitu meyakinkan dan semacam mahu menyelindung fakta sebenar.
"Mungkin peruntukan masa yang sangat terbatas menyebabkan beliau terpaksa meringkas dan mepermudahkan analisis tersebut Tidak dapat dipastikan sama ada perkara tersebut disengajakan atau pun tidak.
"Namun, hal ini amat dikesali kerana rata-rata pemberi komentar menggunakan fakta analisis tersebut sebagai sokongan terhadap hujah mereka,"katanya.
Sehubungan itu katanya, PKPIM menggesa agar persidangan khas dilaksanakan bagi memperincikan analisis keputusan UPSR 2008 dan seterusnya dibincangkan secara berobjektif dan matang oleh pelbagai pihak sama ada menyokong mahupun tidak dasar PPSMI ini.
Selain itu katanya, Kementerian Pelajaran Malaysia juga digesa agar tidak membelakangkan kelompok terpencil khususnya golongan kurang upaya yang jelas sama sekali tidak disentuh oleh kementerian tersebut dalam perbentangan analisis keputusan UPSR itu.
Dalam pada itu, beliau berharap kelompongan beberapa siri persidangan meja bulat yang lepas dapat ditutup menerusi pelaksanaan kedua-dua persidangan khas tersebut.

No comments:

Post a Comment