Tuesday, October 27, 2009

APA PETANDA DI SEBALIK JAMBATAN GANTUNG PUTUS?

Semalam rakyat Malaysia digemparkan dengan kejadian jambatan gantung putus ketika sekumpulan 22 orang murid sedang menyeberangi Sungai Kampar. Sehingga pagi ini seorang pelajar perempuan mati lemas manakala dua lagi masih hilang.

Jambatan tersebut terletak di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar dalam kawasan SK Kuala Dipang. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi.Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Kejadian seperti ini sangat jarang berlaku di negara kita. Tatkala kejadian ini laporkan oleh pihak media, saya teringat ucapan Datuk Paduka Md Rozai Shafian ketika beliau berucap di dalam Perhimpunan Agung Khas Umno pada pertengahan Oktober baru-baru ini.

Menurut Md Rozai, dua kejadian - tsunami yang melanda Kuala Kedah dan banjir besar di Jitra - menjadi petanda awal sebelum kejatuhan Umno Kedah dalam pilihanraya umum 2008. "Selepas itu (selepas pilihanraya umum 2008), Tun Mahathir (Mohamad) pula meninggalkan Umno, betapanya azab dan sengsara kami yang berada di celah-celah itu," kata Datuk Paduka Md Rozai Shafian.

Apa yang terlintas di pemikiran saya ialah, adakah kejadian jambatan gantung putus ini bakal menjadi petanda bahawa politik negeri Perak akan terus bergolak? Atau adakah ini menunjukkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan BN di Perak? Kemungkinan juga kejadian ngeri ini menjadi petunjuk kepada kejatuhan agenda 1 Malaysia.

Namun yang pastinya, kejadian yang menyayat hati ini merupakan peringatan daripada Allah buat insan-insan yang mempunyai akal fikiran.

No comments:

Post a Comment