Tuesday, October 13, 2009

WASPADA TERHADAP KEMEWAHAN



Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu 'anhu: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terharu mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu ( kerana sangat dimanjakan oleh ibunya ) dan kerana melihat nasib Mus’ab sekarang ( ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kemewahan di Mekah. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi ( menghiasi ) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’abah?. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki”. Lalu Baginda bersabda : “Tidak, keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”. (Hadith Riwayat Al-Tirmizi)

Berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat bahawa kemewahan, budaya hendonisme yang keterlaluan untuk mencari hiburan dan keseronokan serta tipu daya dunia banyak menghalang seseorang daripada melaksanakan ibadah kepada Allah, sepertimana fenomena yang berlaku pada umat Islam pada hari ini. Sedar atau tidak, betapa ramai umat Islam pada hari ini yang tertipu dengan keseronokan hiburan yang melampau dan tipu daya dunia yang mempersonakan. Kekayaan, kemewahan dan budaya hendonisme yang ada telah menyibukkan kita dan menghalang dari melaksanakan ibadah untuk mencari keredhaan Allah. Umat Islam pada hari ini dikelabukan mata dengan mengejar kemewahan dan mencari keseronokan yang berpanjangan tanpa memikirkan apakah persiapannya dan amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Aduh, betapa malangnya nasib mereka yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mendapatkan kesedaran dan kefahaman Islam. Marilah bersama-sama kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang jauh dari rahmat kasih sayang Allah. Adakah kita juga tergolong di kalangan mereka yang cintakan budaya hendonisme dan mengejar kemewahan dunia ??



( Keinginan hatiku ini terhadap dunia terlalu banyak. Banyak sangat hajat, impian dan cita-cita kebendaan. Mudah-mudahan coretan di atas memberi peringatan buat hati dan jiwaku yang selalu lalai.)

No comments:

Post a Comment