Sunday, March 7, 2010

MUFTI PAHANG BAKAL DISAMAN

KUANTAN, 4 Mac [2.30 pm] - Jawatankuasa Musolla Ar-Raudah dan penduduk Taman Pelindung Perdana, Beserah dekat sini kecewa dengan tindakan pihak berkuasa menggangu program Forum Ad-Deen yang diadakan sempena menyambut Maulidur Rasul yang diadakan baru-baru ini. Forum yang bertajuk "Perlaksanaan Syariah Di Malaysia" itu, menampilkan ahli panel yang terdiri dari Dr.Azhar Yaazob, Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi, Mohd Fadli Ramly dan bekas Mufti Perlis Dr.Asri Zainul Abadin (Dr.Maza). Kekecewaan timbul akibat tindakan pihak polis, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Dato' Mufti Pahang yang menghalang program itu dijalankan dek kerana terdapat seorang ahli panel yang dikatakan kontroversi iaitu Dr.Maza. Amat mendukacitakan bila terdapat arahan supaya Dr.Maza ditangkap jika memberikan ucapan dan bersuara dalam majlis tersebut. Program yang berbentuk intelektual, wacana ilmiah dan bersifat akademik itu gagal berjalan lancar akibat tekanan daripada pihak berkuasa supaya nama Dr.Maza digugurkan. Walhal kehadiran beliau bukanlah untuk berceramah, tetapi sekadar berdebat dan memberi pandangan tentang tajuk yang ditetapkan sahaja. Menurut Pengerusi Surau Ar Raudhah, Syed Ali Badaruddin Al Habsyee mereka kecewa kerana tindakan Mufti Pahang yang menghalan program ilmu seperti itu. Mereka telah berbelanja besar untuk menyediakan segala kelengkapan berkaitan, namun agak mengukacitakan bilamana terdapat arahan daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang supaya melarang Dr.Asri Zainul Abidin terlibat dalam program tersebut.

Akibatnya, keadaan menjadi serba tidak kena dan Dr.Asri terpaksa bergegas pulang selepas hanya memberi mukadimah tentang latar belakang beliau sahaja. Beliau terpaksa dikawal ketat oleh petugas akibat terdapat desas-desus mengatakan dia akan ditangkap pada malam tersebut.

Soalnya sekarang, kenapa Mufti Pahang tergesa-gesa mengeluarkan arahan terhadap Dr.Asri sedangkan beliau belum pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah syariah atau kesalahan sivil di dalam negara kita. Justeru itu ada beberapa perkara yang amat mengecewakan penganjur pada berkenaan dengan perkara tersebut kata Syed Ali.

"Dato' Mufti Pahang tidak dapat memberi alasan mengapa Dr.Asri dihalang daripada berhujjah dalam forum tersebut. Malah Mufti juga tidak dapat mengemukakan fakta-fakta yang dikatakan kontroversi dalam surat yang disertakan. Ini jelas menunjukkan yang Dr.Asri telah difitnah oleh Dato' Mufti Pahang sebenarnya" kata Syed Ali.

Malah katanya juga carian telah dibuat di Jabatan Agama Islam Pahang dan ternyata tidak ada sebarang pekeliling yang diedarkan atau surat yang dinyatakan untuk melarang bekas Mufti Perlis itu daripada dakwahnya di negeri Pahang.

"Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mewartakan supaya Dr.Asri dilarang untuk menyampaikan dakwah beliau. Ini jelas menunjukkan bahawa tindakan Dato' Mufti Pahang adalah bersifat persepsi dan hanya pandangan peribadi beliau sendiri. Kami tidak teragak-agak akan melantik peguam untuk menfailkan tindakan saman terhadap Dato' Mufti Pahang atas tindakan keterlaluan beliau yang menfitnah serta memalukan Dr.Asri. Program yang diadakan bukanlah berbentuk ceramah dan sekadar forum yang memberi peluang kepada umat Islam untuk bersoal jawab secara lebih jelas dengan Dr.Asri seandainya beliau ada melakukan kesalahan selama ini. Malah, kami juga mengundang pihak yang berkenaan untuk sama-sama hadir bagi dalam program itu. Namun, akhirnya program kami yang diganggu hanya kerana melihat kelibat Dr.Asri", tambah Syed Ali lagi.

No comments:

Post a Comment