Wednesday, July 21, 2010

JENAZAH ISTIMEWA

Kisah 1 : Meninggal Selepas Solat Asar

Ustaz Mukhlis (bukan nama sebenar) sudah berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengendalikan urusan mandi jenazah di sekitar Lembah Kelang dan Malaysia . Beliau amat terkenal di kalangan jemaah masjid di sekitar Lembah Kelang ini. Malah beliau juga selalu berulang-alik ke merata negeri seperti pantai timur semenanjung dan utara selatan untuk menguruskan mana-mana jenazah yang dibawa ke masjid yang memerlukan khidmat tangan beliau.

Saya nak mulakan kisah ini dengan kisah yang pertama.

Kisah ini berlaku pada seorang imam di selatan KL yang meninggal dunia ketika lepas solat Asar.
Imam tersebut meghembuskan nafasnya yang terakhir sebaik sahaja selesai memberi salam yang pertama.

Subhanallah! Matinya dalam keadaan yang amat murni. Murni di sini maksud saya, matinya bukan dalam keadaan berbuat maksiat pada Allah SWT. Mati ketika habis solat dan masih di atas tikar sejadah dan sedang beribadah!

Jenazahnya telah di bawa ke hospital untuk urusan pemeriksaan rutin (medical check-up) dan urusan-urusan lain yang perlu untuk pengurusan pengebumian.
Pihak hospital telah memanggil Ustaz Mukhlis untuk urusan mandian jenazah. Maka bergegaslah Ustaz Mukhlis ke hospital untuk urusan tersebut sebab bagi beliau, jenazah yang hendak dimandikan ini begitu istimewa pada pandangannya kerana roh si mati telah dicabut oleh malaikat Izrael ketika mana sedang mengimami solat!

Sebaik sampai di hospital, ada sedikit masalah yang timbul. Pihak hospital telah mendapati bahawa jenazah imam tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan pihak hospital atas bantuan rakan-rakan jenazah mendapat tahu, jenazah imam ini adalah merupakan orang luar. Maknanya seorang imigran yang bermastautin di negara kita.

Rentetan daripada kes ini, pihak hospital terpaksalah menyimpan dahulu jenazah tersebut untuk beberapa hari bagi urusan dokumentasi dengan pihak berwajib sehingga selesai dan kemudian itu barulah segala urusan yang berkaitan pengebumian akan dilaksanakan. Yang pasti terkilannya sudah tentu ustaz Mukhlis. Kerjanya sedikit terbantut pada hari itu. Sebelum itu, hatinya sudah pun begitu berbunga untuk menguruskan jenazah imam yang dimuliakan Allah SWT ini. Tentu ada kelebihan tersendiri kenapa imam tersebut pengakhiran rohnya di atas tikar sejadah!

Maka jenazah imam tersebut pun dimasukkan ke dalam 'freezer' (maaf, saya tak tahu apa istilah pembeku mayat ini) di dalam bilik mayat hospital buat sementara waktu.

Lapan hari berlalu.

Ustaz Mukhlis dah mula nak melupakan pasal jenazah imam ini.
Tapi dengan takdir Allah SWT, hari ke-9, telefon bimbit ustaz Mukhlis berbunyi.

"Nampak macam no hospital nie", getus hati ustaz Mukhlis.

"Hello, Ustaz Mukhlis ye?"... satu suara bertanya.

"Ya, Ustaz Mukhlis bercakap".

"Ustaz ingat lagi tak mayat imam yang meninggal masa solat Asar tempohari?", sang suara meminta kepastian.

"Imam...imam. ...yang mana satu....ermm. .oh...ya. .ya..ingat. .ingat... ", Ustaz Mukhlis memberi kepastian dalam ingat-ingat lupanya.

"Dokumen dah siap, boleh ustaz datang hospital, uruskan tak?", beritahu sang suara ringkas.

"Ok..ok..., sekarang juga saya bergerak, setengah jam lagi saya sampai!",balas ustaz Mukhlis.

Lega hati Ustaz Mukhlis. Dapat juga dia uruskan mayat tersebut setelah beberapa hari 'pending'. Ingatkan dah tak jadi apa-apa dah. Lama bebenor pihak hospital nak menguruskan dokumennya.

Sampai di hospital, ustaz Mukhlis yang baru tiba diarahkan ke bilik mayat. Di bilik mayat telah ada beberapa orang saksi di kalangan pegawai hospital dan juga polis serta saksi-saksi lain termasuk rakan-rakan jenazah imam tersebut. Semua saksi ini diperlukan kerana inilah 'prosedur' yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Sebab jenazah dah berhari-hari di situ. Tambahan pula jenazah orang luar.

Bismillahir Rohmaanir Rohiim...... Dengan bersaksikan mata sekeliling yang memandang, ustaz Mukhlis menarik 'stretcher ' peti sejuk beku mayat tersebut dengan perlahan-lahan. ..

Subhanallah! Mayat imam ini masih lagi segar merah. Mayat ini juga berpeluh! Macam mana simpan dalam peti ais berhari-hari boleh berpeluh?

Anda tak payah jawab lerrr.. ..Seolah- olah imam ni baru saja meninggal sebentar tadi. Mayatnya tidak keras dan tidak pula membeku! Macam orang sedang tidur.

Ustaz Mukhlis kelu lidahnya. Begitu juga orang di sekeliling.
Istimewa sungguh mayat ini. Kalau daging mayat biasa dah lama mengeras dan membeku.

Masya-Allah! Sekali lagi perkara pelik berlaku...terdapat pula pada dahi jenazah imam ini, tertera satu kalimah tauhid iaitu perkataan "ALLAH"!

Semua orang di sekitar dapat menyaksikan peristiwa ini. Tiada perkataan lain yang keluar dari mulut mereka melainkan tasbih memuji Allah SWT meniti di bibir masing-masing di atas apa yang berlaku.

Semakin bersemangatlah nampaknya Ustaz Mukhlis nak menguruskan jenazah tersebut. Yerlah, siapa yang tak suka pada sesuatu yang molek dan membahagiakan kan ?....

Jenazah imam itu dimandi, dikapan dan disembahyangkan dengan segera sebagaimana biasa. Semua proses ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semuanya berjalan amat mudah. Allah SWT telah pun memuliakan jenazah imam ini di dunia lagi atas jasa-jasa dia yang Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Mengikut Ustaz Mukhlis lagi, lepas semua tu selesai, dia ada juga bertanya pada rakan-rakan Allahyarham apa yang diamalkan oleh Allahyarham semasa hidupnya sehingga mendapat pengiktirafan yang begitu tinggi daripada Allah SWT masa kematiannya.

Jawapan yang didapati daripada rakan-rakannya ialah selain daripada seorang yang berbudi pekerti mulia dan seorang imam yang baik, amalan semasa hidupnya ialah tidak pernah tinggal bangun malam dan bersolat tahajjud. Semua amalan ini dilakukannya secara istiqamah. Ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang tidak dapat dilihat oleh rakan-rakan arwah, yang mana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

No comments:

Post a Comment