Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU

Islam sangat menganjurkan agar umatnya menghormati para ulama dan guru-guru mereka.

Dalam kitab Ta’lim Muta’allim dijelaskan bagaimana cara menghormati guru, di antaranya; tidak boleh berjalan di depan gurunya, tidak duduk di tempat yang diduduki gurunya, bila dihadapan gurunya tidak memulakan perbicaraan kecuali dengan keizinannya. Murid mestilah mendapatkan ridha dari gurunya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam (SAW) bersabda:

“Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhu’lah kepada orang yang mengajarimu.”

Ilmu tidak akan dapat diperolehi secara sempurna kecuali dengan diiringi sifat tawadhuk murid terhadap gurunya, kerana keridhaan guru terhadap murid akan membantu proses penyerapan ilmu, tawadhuk murid terhadap guru merupakan cermin ketinggian sifat mulia si murid.

Sikap tunduk murid kepada guru merupakan kemuliaan dan penghormatan bagi guru tersebut. Sikap para sahabat, yang memperolehi tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah SAW patut dijadikan contoh.

Ibnu Abbas, sahabat mulia yang amat dekat dengan Rasulullah mempersilakan Zaid bin Tsabit untuk naik di atas kenderaannya, sedangkan dia sendiri yang menuntunnya.
“Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ulama kami”, ucap Ibnu Abbas. Zaid bin Tsabit sendiri mencium tangan Ibnu Abbas. “Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ahli bait Rasulullah,” balas Zaid.

Orang-orang terdahulu sangat menghormati ulama mereka. Seorang ulama faqih tabi’in iaitu Said bin Musayyab, , orang ramai tidak akan bertanya sesuatu kepadanya kecuali meminta izin terlebih dahulu, seperti layaknya seseorang yang sedang berhadapan dengan khalifah.

Sifat ini juga diikuti oleh para ulama. Imam Abu Hanifah sebagai contoh sangat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Aku tidak pernah solat setelah guruku Hammad wafat, kecuali aku memintakan ampun untuknya dan untuk orang tuaku”.

Perbuatan ini diikuti juga oleh Abu Yusuf, murid Abu Hanifah. Dia selalu mendoakan Abu Hanifah sebelum mendoakan kedua orang tuanya sendiri.

Penghormatan Imam As Syafie kepada guru beliau, Imam Malik juga merupakan satu teladan dan mempunyai nilai yang sangat tinggi. Imam Syafie pernah berkata: “Di hadapan Imam Malik aku membuka lembaran-lembaran dengan sangat hati-hati, agar jatuhnya lembaran kertas itu tidak terdengar”.

Rabi’, murid Imam As Syafie juga tidak ingin gurunya itu melihatnya ketika sedang minum,

Abdullah, putra dari Imam Ahmad bertanya kepada ayahnya. “Syafie itu seperti apa orangnya, hingga aku melihat ayah banyak mendoakannya?”. “Wahai anakku, Syafie seperti matahari bagi dunia..”, jawab Imam Ahmad bin Hanbal. Sebagaimana disebutkan beberapa riwayat, bahawa selama tiga puluh tahun Imam Ahmad mendoakan dan meminta keampunan untuk guru beliau Imam As Syafie terlebih dahulu sebelum mendoakan kedua ibubapanya sendiri.

Dengan guru beliau yang lain pun demikian. Imam Ahmad pernah berguru juga kepada Husyaim bin Bashir Al Wasithi selama lima tahun. ”Aku tidak pernah bertanya kepadanya, kecuali dua masalah saja karena rasa hormat.”

Sikap hormat dan tawadhuk mereka kepada para guru amat tinggi, bahkan dalam berdoa sendiri mereka mendahulukan para guru, kemudian barulah kedua ibubapanya. Kenapa dimikian?

Imam Al Ghazali menjelaskannya dalam Al Ihya’ (1/55). “Hak para guru lebih besar daripada hak orang tua. Orang tua merupakan sebab kehadiran manusia di dunia fana, sedangkan guru bermanfaat bagi manusia untuk mengharungi kehidupan kekal. Kalaulah bukan kerana susah payah guru, maka usaha orang tua akan sia-sia dan tidak bermanfaat. Kerana para guru yang memberikan manusia bekal menuju kehidupan akhirat yang kekal”.

Pada hari ini, adab dan teladan yang telah ditunjukkan oleh para ulama hampir pupus kerana terkikis oleh kebodohan, sehingga tidaklah hairan jika ada pencari ilmu yang mencela gurunya sendiri hanya disebabkan berbeza pendapat dalam masalah furu’. Sejauh manapun perbezaan kita, guru tetaplah guru. Nah, mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang seperti ini.

No comments:

Post a Comment