Wednesday, June 24, 2009

KEHILANGAN YANG SENTIASA DIRASAI

Hampir saya lupa, tarikh 23 Jun (semalam) telah melakar suatu sejarah penting dalam dunia dakwah Islam di Malaysia. Hari ini genap 7 tahun Almarhum Ust Fadzil Noor meninggal dunia. Nama beliau adalah satu nama besar dan tidak asing bagi perjuangan dan gerakan Islam di Malaysia. Beliau disayangi oleh ahli-ahli PAS selaku pimpinan utama parti. Dikagumi oleh musuh-musuh politik beliau terutamanya ahli-ahli UMNO. Hujah beliau selalunya diibaratkan ‘buah pukul mati’. Orang yang tidak berpolitik juga meminati beliau.

Ust Mohd Fadzil Noor merupakan anak jati Kedah. Beliau telah dilahirkan pada 13 Mac 1937. Merupakan anak sulung dari empat adik beradik. Beliau yang dipanggil dengan nama Ali kalangan ahli keluarga, lebih rapat dengan datuknya. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga. Kemudian belajar di sekolah agama terkenal di utara tanah air iaitu Maktab Mahmud. Selanjutnya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ust Fadzil mempunyai 8 orang anak hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta, Khadijah Ibrahim (Kak Jah) yang merupakan sepupu Ust Fadzil sendiri.

Pemimpin PAS ini telah meninggal pada pagi 23 Jun 2002. Kehilangan beliau ditangisi oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia. Lautan manusia menghadiri majlis pengebumian jenazahnya. Lepas asar sehari sebelum beliau meninggal, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk bersara dari Perdana Menteri dan Presiden UMNO di acara penutup Perhimpunan Agung UMNO. Seluruh ahli UMNO menangis. Ketika itu sudah 2 minggu ahli PAS dirundung hiba kerana pemimpin mereka nazak di ranjang wad Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia setelah menjalani pembedahan pada 10 Jun 2002.

Ini hanyalah cebisan kisah hidup almarhum Ust Fadzil yang penuh dengan kisah perjuangan dan dakwah. Moga beliau ditempatkan bersama para pejuangan yang mati di jalan Allah…Al-Fatihah.

1 comment:

  1. yg Patah Tumbuh, yg Hilang Berganti.

    Buah pukol Mati telah diwarisi oleh MB Kedah

    ReplyDelete