Monday, October 11, 2010

SYEIKH MUHAMMAD IBRAHIM AL-KATTANI DI SG.PETANI

Alhamdulillah, semalam saya sempat mendengar Syeikh Muhammad Ibrahim meriwayatkan beberapa buah hadis dari Kitab Sahih Bukhari yang bermula dari hadis pertama di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bakar Arang, Sg.Petani.

Terubat juga rasanya kerinduan terhadap Syeikh Muhammad. Dah lama tak mendengar syeikh menghuraikan hadis-hadis nabawi dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Majlis semalam bermula dengan maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Syeikh Muhammad. Selesai solat serta diiringi wirid ringkas dan doa yang sederhana, majlis pengajian hadis dimulakan.

Syeikh Muhammad Ibrahim membaca sendiri hadis-hadis dari Sahih Bukhari (semasa di Mesir, matan hadis dibacakan oleh anak murid beliau lalu dihuraikan oleh syeikh). Al-Fadhil Ust Aminuddin b. Abd Rahim (Ust Din Tok Guru) menterjemahkan hadis-hadis yang telah dibacakan.

Setelah selesai periwayatan beberapa hadis dari sahih Bukhari, Syeikh Muhammad mengijazahkan secara umum sanad sahih Bukhari dan Buku Hadis-hadis Fadhilat Selawat (karangan Syeikh Abu Fadhl Abdullah ibn Muhammad Al Siddiq Al-Ghumari Al-Hasani, guru kepada Syeikh Muhammad).

Sebelum menutup majlis, syeikh berpesan supaya para hadirin berusaha untuk mempelajari hadis-hadis di dalam Sahih Bukhari. Jika tidak mampu, berusahalah mempelajari Hadis 40 dan Riyadus Solihin yang kedua-duanya dikarang oleh Imam Nawawi rahimallahu a’laih.

“Para ulama dan ahli-ahli hadis (muhaddisin) yang sentiasa menyibukkan diri mereka dengan hadis, merekalah ulama yang sebenarnya. Bahkan merekalah para auliya’ abdal yang sebenarnya,”
pesan Syeikh Muhammad lagi.

No comments:

Post a Comment